|
Majlis taklimat bagi isu murtad di Negeri Pahang telah diadakan pada hari Isnin 24hb Julai 2006 bertempat di Dewan JAIP, Kuantan mendapat sambutan padu dan dewan dipenuhi orang ramai hingga ada yang terpaksa berdiri. Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama tiga badan Islam di Negeri Pahang iaitu NADWAH, ABIM dan JIM telah berjaya menarik lebih kurang 2,000 orang warga Pahang. Program yang dipengerusikan oleh Saudara Mohd Najib Husin dengan dua panelis yang terdiri dari Tuan Haji Mohd Azmi Abd Hamid (TERAS) dan Saudara Abdul Rahim Sinwan telah berjaya membuka satu lembaran kesedaran dalam memperdanakan Islam dalam masyarakat. Program yang berlangsung hampir dua setengah jam telah diakhiri dengan bacaan resolusi dan majlis tandatangan bantahan terhadap isu murtad. Satu majlis penerangan isu semasa yang dinamakan Taklimat Isu Murtad’ telah berjaya dianjurkan dengan jayanya di Kuantan, Pahang. Majlis ini telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Islam negeri Pahang dengan kehadiran seramai 2000 orang. Majlis yang bermula jam 9.30 malam dan berkahir jam 12.00 tengah malam itu telah diadakan di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jalan Masjid Kuantan. Tiga pertubuhan Islam iatu Badan Nadwah Islamiyah Pahang (NADWAH), Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pahang dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pahang telah bergabung tenaga menganjurkan majlis tersebut. Kehadiran orang ramai jelas membuktikan kesedaran dan keprihatinan warga Pahang mengenai usaha-usaha menggugat akidah umat Islam yang giat dijalankan sekarang ini.
Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Mohd Najib Husin (peguam) manakala dua ahli panel telah dijemput untuk memberikan taklimat. Dua ahli panel tersebut ialah Encik Abdul Rahim Sinwan (Peguambela dan Peguamcara ahli Peguam Pembela Islam) dan Tn. Hj. Azmi bin Abdul Hamid (Presiden Teras Pengupayaan Melayu). Dalam taklimat yang diberikan oleh Encik Abdul Rahim, beliau telah menjelaskan latar belakang kes Azlina Jailani @ Lina Joy serta kes-kes lain yang berkaitan. Beliau juga menekankan tentang implikasi buruk yang akan menimpa umat Islam jika kes ini memihak kepada pihak Azlina Jailani. Tn. Hj. Azmi pula dalam taklimatnya menjelaskan sejarah bermulanya usaha meminggirkan Islam di negara ini. Beliau juga menghuraikan cabaran-cabaran semasa yang melanda umat Islam yang sedikit sebanyak menggoyahkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Beliau akhirnya merumuskan taklimat dengan mencabar semua hadirin supaya memperjuangkan usaha memastikan bahawa murtad merupakan satu jenayah dalam enakmen jenayah syariah.
Oleh itu, sesiapa yang mempromosikan murtad telah melakukan promosi jenayah kepada masyarakat. Majlis pada malam tersebut diakhiri oleh sesi pembentangan resolusi yang disampaikan oleh Presiden Badan Nadwah Islamiyah Pahang (NADWAH). Satu mesyuarat susulan di antara NADWAH-JIM-ABIM bersama kedua-dua panelis juga diadakan selepas majlis. Mesyuarat tersebut telah membincangkan gerak kerja seterusnya yang diambil oleh ketiga-tiga badan bagi memastikan mesej murni ini sampai ke segenap pelusuk negeri Pahang.
|