Amaran Henti Pertikai Perlembagaan
Sumber : Berita Harian
 
PUTRAJAYA: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi amaran Kumpulan Artikel 11 supaya menghentikan cubaan meraih sokongan dalam usaha mereka mempertikaikan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata, sebarang bentuk kempen mesti dihentikan kerana Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara Islam.

Bagi saya apa yang digembar-gemburkan cukup sensitif. Jika kita tidak berjaga-jaga ia akan memecah-belahkan kita," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembangunan Pelan Strategik Kementerian Pelajaran dengan MSC Technology Centre Sdn Bhd, di sini semalam. Menteri Pelajaran yang juga Penaung Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia) itu turut melancarkan previu klip video konflik dan kekejaman Israel di Lebanon dan Palestin untuk tayangan stesen televisyen tempatan. Hishammuddin berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kumpulan Artikel 11 yang mengandungi 13 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam Malaysia, yang sedang berkempen mendapatkan sokongan meminda Perlembagaan Persekutuan. Perkara itu menghalang mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah syariah.

Beliau berkata, walaupun Malaysia sebagai negara demokrasi membenarkan ketelusan dan keterbukaan membincangkan serta memperkatakan banyak perkara, perbincangan mengenai Perkara 121(1A) perlu ada batas. "Perbincangan atau forum mengenai Perkara 121 (1A) ini janganlah sehingga menjadi isu polemik. Dalam hal ini kedudukan Islam jelas termaktub di bawah Perlembagaan kita. Pendirian Pemuda, isu ini tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak, katanya. Mengenai kenyataan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria bahawa kira-kira 100,000 penganut Islam murtad berdasarkan kajian pihak tertentu, beliau berkata perkara itu wajar diteliti oleh pihak kehakiman Syariah. Sementara itu, beliau mahu gerakan antikekejaman rejim Israel diperluaskan dengan membabitkan badan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia dan pelajar universiti di seluruh negara.