|
Sumber : Utusan Malaysia KUALA LUMPUR 24 Julai Kumpulan yang cuba menggugat kedudukan Islam dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan diingatkan supaya tidak meneruskan sebarang aktiviti yang boleh mengeruhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Setiausaha Biro Agama UMNO, Datuk Othman Desa berkata, peruntukan perlembagaan tersebut jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan ia bukannya bertujuan untuk memencilkan mana-mana agama.
Menurut beliau, sebarang tindakan yang cuba menerapkan elemen baru terhadap Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan dengan membawa pengaruh dari luar akan menyentuh sensitiviti dan boleh membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini. Katanya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini pernah menasihatkan agar sebarang rasa tidak puas hati terhadap perlembagaan, khususnya perkara-perkara yang menyentuh kedudukan raja-raja dan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dibincang secara tertutup.
Sejarah juga membuktikan bahawa kedudukan Islam sebagai agama rasmi bukan bermula semasa negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, ia bermula sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi. Kedatangan penjajah pada abad ke-16 juga tidak pernah mengacau’ kedudukan Islam, malahan memberikan kuasa mutlak perkara berkaitan Islam kepada raja, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan kedudukan Islam dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi, di sini hari ini. Mengulas resolusi Forum Syariah dan Cabaran Semasa Umat Islam anjuran pertubuhan bukan Islam yang dicapai semalam, beliau menyifatkannya sebagai langkah positif memperkukuh status Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Beliau berkata, setiap individu di negara ini berhak menghormati peruntukan perlembagaan persekutuan yang merupakan sebuah skim pembentukan negara dengan mengambil kira setiap aspek dan latar belakang sejarah. Sehubungan itu, Othman berkata, UMNO sebagai sebuah parti Melayu yang memperjuangkan Islam, akan terus memastikan tiada anasir luar mampu menggugat status Islam dengan mengadakan Konvensyen Pengerusi Biro Agama UMNO dalam tempoh terdekat. Konvensyen itu, katanya, bertujuan untuk memperjelaskan isu semasa dan mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang permasalahan berkaitan Islam di negara ini.
|