Oleh: Mohd Yusni Khusaini b. Dato’ Mohd Yussof (12 Mei 2008)
Editor Demi Masa, Angkatan Belia Islam Malaysia Malaysia selalu terjebak di dalam insiden-insiden yang meruntun sentimen dan emosi rakyat di negara ini khususnya apabila terdapat kaitannya dengan rakyat negara ini secara terus. Sebagai contoh, perkahwinan Natrah dan Abdul kadir Adabi pada awal abad ke 20 yang lalu, konflik keluarga Tengku Bahrain dan yang terbaru, perkembangan seorang gadis cerdik bernama Sufiah Yusuf. Daripada seorang gadis Muslim yang pernah diketengahkan sebagai contoh kehebatan yang boleh dilahirkan oleh dunia Islam, kini gadis malang ini mendapat liputan sebagai seorang gadis malang yang terjebak di dalam dunia maksiat. Media ghairah memaparkan kisah perihal gadis ini yang dikatakan menjadi pekerja seks atau escort girl. Lebih menyayat hati, gadis ini tampil sendiri menerusi satu sesi temuramah untuk mengatakan ia begitu selesa dengan gaya hidupnya yang baru-terlepas daripada tekanan keluarga, penderaan lahir dan batin dan boleh menikmati kehidupan yang lebih enak, sesuai dengan zaman remajanya.
Setidak-tidaknya, itulah cara bagaimana media memaparkan kisah gadis ini. Persoalan yang mungkin terlintas di dalam fikiran kita pula lazimnya adalah mungkin inilah kesannya apabila masa normal hidup seorang kanak-kanak dibebani dengan disiplin pendidikan yang sangat ketat, semata-mata untuk melahirkan seorang genius agar dapat menerobos masuk ke Oxford pada usi yang muda. Malah, barangkali juga keluarga Sufiah sudahpun diberikan penghakiman dan dihadapkan ke kandang pesalah sebagai pihak yang perlu dipersalahkan akibat keadaan ini. Sememangnya fenomena ini tidak mengejutkan. Semenjak kecil kita sudah terdidik untuk meletakkan kesalahan kepada orang lain menerusi lagu ‘Bangau oh bangau’.
Apabila kisah perubahan gadis malang ini disiarkan, pastinya ramai di antara kita yang berfikir mengikut garis pemikiran ini ; bahawa semua yang menimpa Sufiah ini adalah reaksinya yang memberontak terhadap tekanan yang dihadapi; bahawa nilai kecerdikan dan kebijaksanaan di dalam seorang Muslim adalah begitu rapuh sehinggakan nilai-nilai tersebut begitu mudah runtuh; dan bahawa seorang gadis Muslim yang menjadi kebanggaan dunia Islam kini bertukar watak dan terjebak dalam gejala yang mengaibkan! Lazimnya, apabila berlaku sesuatu musibah, kita lebih disarankan agar melihat kepada kelemahan diri sendiri daripada ghairah menyalahkan orang lain. Memang itulah sifat yang terpuji dan menjadi langkah pertama dalam memperbaiki kelemahan diri. Namun, dalam pada itu Al Quran juga turut mengingatkan agar umat Islam beringat dan berwaspada dengan upaya kelompok Nasrani dan Yahudi yang dikatakan tidak akan redha kepada umat Islam sehinggalah kita mengikut telunjuk mereka. Malah, kata–kata Saiyyidina Ali Karamullahu Wajhah juga sering diungkapkan-Upaya kejahatan yang terancang dan tersusun akan dapat menewaskan kebaikan yang berantakan!
Dengan mengambil iktibar daripada kedua-dua peringatan ini, mungkin inilah kesimpulan yang boleh kita fikirkan-bahawa sememangnya dunia ini tidak sempurna, dipenuhi dengan pelbagai musuh yang sentiasa merencana untuk menjatuhkan kita dan perjuangan Islam tidak sekadar cukup dengan nawaitu yang baik mahupun keinginan untuk membuat baik. Umat Islam perlu sentiasa peka, bersedia, bersiaga, dilengkapi persenjataan terkini, berdikari dan berani untuk menghadapi sesiapa sahaja. Namun, dalam pada itu, perasaan hormat, toleransi dan sedia bersikap terbuka yang berteraskan konsep littarafu itu perlu terus menjadi hidayah dalam kehidupan kita. Di dalam rasa terkejut dan simpati kepada keluarga ibu Sufiah, Puan Halimahton, beberapa perkara perlu turut diberi perhatian. Sehingga kini, terdapat banyak pihak, sama ada di kalangan media mahupun para bloggers yang menulis sesuatu tentang kisah gadis ini. Namun, sebagaimana yang dinyatakan oleh suara rasmi keluarga ini, Yusof Family (hyusof.com), terdapat banyak penyelewengan fakta yang dilakukan khususnya pada perkara-perkara penting yang dapat memberikan gambaran sebenar tentang keluarga ini. Menurut laman ini, pihak media hanya memaparkan apa yang lazimnya ingin dibaca oleh orang ramai, dan apa yang dipaparkan tidak semestinya mencerminkan kebenaran. Apabila Sufiah melarikan diri dan diletakkan di bawah jagaan pekerja sosial, Sufiah sebenarnya telah terpisah daripada keluarganya. Umum mengetahui bahawa apabila sebaik sahaja seorang kanak-kanak telah diletakkan di bawah jagaan pekerja sosial di Britain, jagaannya adalah begitu ketat sehinggakan keluarga Sufiah sendiripun tidak dibenarkan untuk melawatnya. Dalam tempoh jagaan itu, kita tidak pasti apakah yang telah berlaku kepada Sufiah; khususnya tentang siapa yang menjaganya, gaya hidup sebagaimana yang telah didedahkan kepadanya, siapakah teman-temannya dan pelbagai lagi kemungkinan yang berlaku.
Apa yang pasti adalah Sufiah tidak diletakkan di dalam jagaan pihak Muslim. Maka, mungkinkah dalam tempoh ini pemikiran dan emosi Sufiah turut dipengaruhi? Di dalam liputan Buletin Utama pada 9 April 2008 misalnya, Puan Halimahton sendiri menyatakan bahawa beliau tidak pasti bahawa Sufiah yang tampil pada laman web itu adalah Sufiah yang sebenarnya. Dalam erti kata lain, watak Sufiah telah berubah sama sekali. Benarkah Sufiah mengalami penderaan mental dan fizikal oleh bapanya agar menguasai bidang akademik sehingga jiwanya memberontak? Seperkara yang nyata, blog penjelasan keluarga ini menafikan segala-gala andaian sterotaip yang dipaparkan di media. Di dalam keluaraga ini, tidak ada tekanan yang melampau, tidak ada paksaan untuk belajar, tidak terdapat penderaan dan tidak ada sekatan untuk anak-anak menikmati siri telivisyen, musik dan filem. Sekiranya semua ini berlaku, tidakkah menghairankan kita bagaimana saudara-saudara kandung Sufiah tidak mengalami derita penderaan yang sama? Fakta kedua yang perlu sama direnungkan adalah kemasukan Sufiah, seorang gadis Muslim berusia 12 tahun ke Oxford, sebuah institusi pendidikan ternama di dunia Barat pastinya memberi kesan yang begitu kuat kepada dunia. Mungkinkah perkembangan ini begitu dicemburui dan ditakuti oleh pihak-pihak tertentu? Tidakkah juga formula yang digunakan oleh Puan Halimahton ini akan diguna pakai oleh lebih banyak keluarga Islam di dunia yang akan menghasilkan lebih ramai umat Islam untuk mengubah dunia ini?
Pada sesetengah pihak, barangkali makalah ini akan ditanggapi sebagai sebuah penulisan yang terlalu longgar, tidak disokong dengan bukti-bukti yang konkrit, malah tidak lebih daripada sekadar satu lagi koleksi ‘teori konspirasi’ dalam menyalahkan pihak lain atas kelemahan diri sendiri. Mungkin semua pertuduhan ini benar. Namun, dalam pada itu lihatlah juga keadaan dunia pada hari ini. Umat Islam dihenyak,dibantai, dizalimi dan dianayai di mana-mana sahaja secara terang-terangan. Semua yang berlaku itu bukanlah sekadar terakam sebagai teori konspirasi, sebaliknya peristiwa yang nyata. Memang wujud usaha-usaha untuk menjatuhkan umat Islam di mana-mana sahaja. Maka, adakah keterlaluan jika fikiran nakal kita yang berimiginasi ini mengandaikan nasib Sufiah ini sebahagian daripadanya? Memang sukar untuk kita mencari kebenaran mutlak pada dunia hari ini. Apatah lagi dengan kewujudan para bloggers yang masing-masing ada pandangan tersendiri dalam semua perkara, gambar-gambar super imposed, teknik manipulasi minda oleh pengamal media, kaedah reverse psychology, teknik hypnotize, brain wash dan segala apa yang mungkin terfikirkan oleh kita. Sebagaimana yang sering dilakukan oleh sang bijaksana, jangan cepat percaya apa yang dilihat, didengar dan dibaca. Selidiki dulu kebenarannya kerana di dalam timbunan kepalsuan dan kekeliruan, kebenaran tetap akan memancarkan cahayanya.
(rencana ini dipetik daripada akhbar bulanan Demi Masa keluaran Mei 2008 terbitan ABIM )
|