Malaysiakini.com : ABIM Sangsi Agenda Antarabangsa Terhadap Kes Lina Joy
Sumber : www.malaysiakini.com Muda Mohd Noor Jul 24, 06 4:14pm
 
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bimbang dengan minat dan perhatian mendadak pertubuhan antarabangsa terhadap kes murtad Azlina Jailani (Lina Joy). Presidennya, Yusri Mohamad mendakwa badan bukan kerajaan (NGO), individu tertentu dan kedutaan asing yang memantau kes tersebut mempunyai agenda tersembunyi.

Katanya, sebuah NGO yang berpusat di Amerika Syarikat iaitu Bakej Foundation (www.becketfund.org) telah membuat kajian secara teliti dan mendalam mengenai kes Lina Joy itu. Yusri berkata, Abim khuatir, jika tidak diawasi badan-badan antarabangsa ini akan menggunakan kes Lina Joy untuk memburuk-buruk kerajaan dan umat Islam negara ini. Presiden Abim itu berkata demikian kepada malaysiakini selepas menghadiri forum "Islam dan Cabaran" anjuran Pesatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di ibunegara semalam yang membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi Islam muktahir ini, khususnya mengenai kes Azlina Jailani atau Lina Joy, IFC dan Artikel 11. Kes Lina Joy menjadi perhatian apabila beliau menyaman Kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuang status Islam’ nya dalam kad pengenalannya.

Agama Kristian Sementara itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid pula berkata, ada kumpulan tertentu yang didalangi oleh orang Melayu yang membantu menyebarkan agama Kristian di negara ini. Katanya, kumpulan ini kecil tetapi sangat berpengaruh dan telah menjalankan kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan orang Melayu. Perbuatan mereka ini amat tidak disenangi oleh umat Islam dan secara tidak langsung boleh membahayakan ketenteraman negara, katanya lagi. Mohd Azmi juga melahirkan kekesalannya terhadap tindakan pihak tertentu mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mengendalikan kes-kes yang membabitkan agama Islam dan orang Islam di negara ini. Katanya, bidang kuasa mahkamah tersebut tidak sepatutnya dipertikaikan kerana ia selari dengan peruntukan dan kedudukan istimewa agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya Mahkamah Syriah sekarang seolah-olah tidak mampu melindungi umat Islam negara ini lagi kerana pihak-pihak tententu menggunakan saluran mahkamah sivil untuk mencapai cita-cita mereka, tegasnya. Sebagai contoh katanyta, perbicaraan kes Lina Joy di Mahkamah Persekutuan membuktikan perlindungan kepada agama Islam di negara ini amat longgar. Sehubungan itu, katanya kumpulan NGO Islam akan menemui Peguam Negara untuk mengadakan perbincangan supaya kedudukan agama Islam terpelihara.