Wawancara Eksklusif Sdr Yusri Mohamad (Presiden ABIM/Pengerusi Mesyuarat PEMBELA) Selepas Program 23 Julai 2006
MyIslamnetwork: Tahniah atas inisiatif Saudara dan rakan-rakan kerana menganjurkan Forum petang ini. Apakah signifikannya kes Lina Joy ini dan apakah tujuan sebenar Saudara menganjurkan pertemuan ini?
 
Terima kasih. AlhamduliLlah, pertubuhan-pertubuhan Islam dan orang ramai yang berkumpul hari ini merasa terpanggil untuk mempertahankan kedudukan Islam dalam perundangan di Negara ini yang sedang diganggu-gugat. Lebih khusus, mereka yang datang rata-rata melahirkan rasa prihatin dan kekhuatiran yang amat mendalam terhadap kecenderungan menggunakan kes-kes Mahkamah untuk melemahkan kedudukan Islam, terutamanya permohonan keluar dari Islam. Kes Azlina Jailani ataupun Lina Joy merupakan suatu kes yang paling mendapat tumpuan kerana ia mungkin membuka ruang merombak kedudukan istimewa Islam seperti yang dijamin dalam perlembagaan. Ia buka hanya berkaitan dengan soal murtad tetapi ada percubaan menggunakan kes tersebut untuk memperkenalkan fahaman kebebasan beragama tanpa batas. Ia juga penting kerana turut berkait dengan soal tafsiran Perkara 121(1A) yang mengelakkan pertindanan antara bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
 
Ini akan mendatangkan kesan besar kepada masyarakat kita dan akan menyebabkan keharmonian kaum tergugat. Kami berkumpul hari ini untuk sama-sama lebih memahami isu ini dengan setepatnya di samping menyatakansikap mengenai perkara serius ini. Yang pasti, perasaan pelbagai kelompok terutamanya orang Islam amat terguris dari insiden ini khasnya apabila ternyata terdapat suatu usaha berterusan dari kelompok-kelompok tertentu yang dilihat cuba memudahkan orang keluar dari Islam. Kami berhasrat untuk merangka gerak kerja yang lebih tersusun untuk menyalurkan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai ini dan meminta pihak kerajaan memandang serius perkara ini. Isu murtad kerap timbul dalam masyarakat kita dan menimbulkan kontroversi tanpa suatu penyelesaian yang tuntas. Ini bukanlah pendekatan terbaik.
 
MyIslamnetwork: Apakah matlamat pertemuan yang Saudara gariskan tercapai?
 
Ya, saya percaya pertemuan hari ini telah banyak menjelaskan lagi pemahaman terhadap isu ini juga membentuk persefahaman di kalangan NGO dan orang ramai yang terbabit dan kami kini lebih bersedia untuk menangani isu ini. Kutipan tabung kilat yang dibuat tadi pun agak memberangsangkan. Ini manifesto kesediaan masyarakat untuk bersama dalam perjuangan ini. Berapa ramai agaknya yang hadir? Alhamdulillah, dengan notis singkat kami dapat mengumpulkan begitu ramai orang melimpahi ruang dewan yang disediakan. Ada yang memberikan anggaran melebihi 10,000 orang. Ini di luar jangkaan sehingga kami terpaksa mengubah sedikit format perbincangan. Hinggakan kami terpaksa membenarkan orang ramai naik bersila di atas pentas kerana terlalu ramai yang hadir untuk mendengar penerangan dari pakar akademik dan peguam yang hadir. Inilah bukti jelas dokongan orang ramai terhadap isu ini. Pelbagai pertubuhan menghantar wakil, termasuk dari luar Lembah Kelang. Ada yang tak dapat hantar wakil dan memohon maaf. Ada yang menghantar surat sokongan dan menyatakan kesediaan untuk membantu PEMBELA. Alhamdulillah, ini menunjukkan betapa dekatnya isu ini di hati masyarakat Islam di negara ini.
 
MyIslamnetwork: Umat Islam nampaknya melihat isu murtad ini begitu sensitif sekali bagi umat Islam. Soalnya, adakah Saudara rasa kaum lain berkongsi keprihatinan yang sama? Bukankah mereka akan melihat usaha ini sebagai bertentangan dengan hak kebebasan beragama?
 
Ya, memang isu murtad ini sangat sensitif bagi umat Islam amnya walau pun mungkin masing mendatangi isu ini dengan pendekatan berbeza. Ada juga yang sangat emosional, tapi rata-rata umat Islam melihat gejala murtad sebagai suatu penyakit parah yang perlu diubati dan dicegah. Tentang perspektif kaum lain, mesyuarat tadi turut membincangkan pendekatan terbaik mengajak mereka supaya turut memahami sudut pandangan kami ini. Kita berharap dapat meyakinkan mereka bahawa umat Islam perlu diberi ruang untuk menghayati agama mereka menurut batas-batas ajaran Islam itu sendiri. Umat Islam hanya sekadar ingin setia kepada ajaran Islam seperti yang kami warisi zaman berzaman. Bukannya mengada-adakan sesuatu yang tiada dalam Islam semata-mata untuk menyusahkan penganut agama lain. Selama ini formula telah kita terima dan amalkan dalam koenteks negara kita dan hasilnya kita dapat mengekalkan suasana yang relatif memuaskan. Memang masih ada ruang untuk perbaikan tapi ia harus dibuat secara pemuafakatan dan bukannya konfrontasi mahkamah, media atau seumpamanya.

MyIslamnetwork: Saudara berpendapat Forum terbaik untuk membicarakan masalah permohonan untuk keluar Islam adalah Mahkamah Syariah. Apakah masalahnya dengan Mahkamah Sivil?
 
Betul, inilah antara tuntutan dan pendirian kita. Kita bukannya tidak bersedia untuk membincangkan dan mempertimbangkan kes-kes kontroversi agama termasuk murtad, tetapi oleh kerana isu-isu ini isu berkaitan ajaran agama memang sewajarnyalah ia diadili dihadapan hakim-hakim yang pakar dalam hukum Syara’ serta dihujahkan oleh peguam-peguam berkepakaran dalam bidang yang sama. Tidak patut timbul pertikaian dalam hal ini. Hakim-hakim dan peguam-peguam Syarie sentiasa terikat dan bertanggungjawab menegakkan pendapat syarak yang sah dan bukannya sekadar memenangkan pihak Islam dengan menindas hak orang bukan Islam.
 
MyIslamnetwork: Tetapi sesetengah negeri tidak mempunyai peruntukan untuk membenarkan orang keluar Islam. Apakah penyelesaian masalah ini?
 
Ini masalah teknikal yang boleh diselesaikan tanpa melibatkan soal memperluaskan kebebasan beragama dalam Perlembagaan sehingga melanggar batas-batas hukum Islam serta melanggar kedudukan istimewa agama Islam dalam sistem kenegaraan kita yang sekian lama kita amalkan. Persoalan ini juga kompleks dan perlu ditangani oleh ahli-ahlinya, dalam konteks ini melibatkan majlis fatwa, mahkamah syariah dan institusi-institusi Islam yang berkaitan. Mereka ini bukannya tidak bersedia menangani masalah-masalah yang sebenar yang berlaku dalam masyarakat melibatkan orang bukan Islam. Tapi kemukakanlah mengikut saluran dan dengan pendekatan yang betul.
 
MyIslamnetwork: Apakah perancangan Saudara dan pertubuhan yang terlibat dalam PEMBELA ini dalam memperjuangkan isu ini? Kita sedia merangka beberapa strategi dan langkah merangkumi usaha penyebaran fahaman yang betul ke semua peringkat, mencadangkan beberapa jalan keluar dan seumpamanya.
 
Yang mustahak, kita berharap agar PEMBELA dapat berperanan memastikan agar isu ini dapat ditangani dengan berkesan dan seadil-adilnya. Kita mahu agar panduan dan batas agama dalam isu-isu ini di hormati disamping meraikan sepenuhnya hak-hak yang sah (legitimate rights and concerns) semua pihak terbabit termasuk masyarakat bukan Islam. Kita juga tidak mahu dan akan berusaha agar nama baik dan imej Islam dan Umat Islam tidak tercalar akibat pendekatan yang silap dalam menangani isu-isu ini.
 
MyIslamnetwork: Tidakkah tindakan PEMBELA ini akan dilihat sebagai mencetuskan ketegangan dalam perhubungan antara agama dan kaum di Negara kita?
 
Sebenarnya tabiat isu-isu yang timbul ini memang sangat sensitif dan kontroversi. Jadi kalau kita tak buat apa-apapun ketegangan telah sedia ada dan tetap akan timbul. Malah adalah lebih tidak kena jika pihak pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam bersikap hanya tunggu dan lihat kerana akhirnya mungkin ada kecenderungan sesetengah individu atau pihak untuk mengambil langkah radikal. Jadi adalah lebih baik untuk semua orang jika inisiatif pihak pertubuhan-pertubuhan Islam ini cuba kita usahakan secara lebih terselaras. Ianya bukan mudah tetapi marilah kita usaha dan doakan agar masyarakat kita dapat mengharungi cabaran ini dengan baik.